Thursday, March 12, 2009

Liverpool yakin mampu tumbangkan Red Devils


LIVERPOOL, England - Pengurus Liverpool, Rafael Benitez percaya kejayaan pasukannya membelasah Real Madrid 4-0 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah memberi petanda awal pasukannya mampu menumbangkan Manchester United, Sabtu ini.

Dua pasukan gergasi Liga Perdana England itu bakal bertemu buat kali kedua musim ini dan kemenangan mampu mengurangkan jurang perbezaan mata kepada tujuh jika Liverpool menang.

Benitez menegaskan, pasukannya mempunyai misi mesti menang pada perlawanan di Old Trafford nanti atau lupakan terus kejuaraan liga musim ini sekiranya mencatat keputusan selain daripada itu.

Namun kemenangan ke atas Real yang diinspirasikan Fernando Torres kelmarin boleh dianggap persiapan terbaik Liverpool sebelum berdepan United.

"Dalam menghadapi perlawanan penting yang mendatang, bermain baik seperti ketika menewaskan pasukan hebat seperti Real Madrid pastinya melegakan.

"Sebagai pengurus, mungkin ia pendekatan terbaik untuk berdepan perlawanan besar seperti ini (lawan United)," jelasnya.

Kembalinya Fernando Torres ke tahap prestasi sebenar selepas cedera membolehkan Liverpool mempamerkan persembahan yang dianggap terbaik mereka musim ini, kelmarin.

Torres lebih dulu membuka jaringan buat Liverpool sebagai gol semangat sebelum penalti dan gol cantik Steven Gerrard di samping jaringan pemain gantian, Andrea Dossena memusnahkan terus harapan Real untuk layak ke suku akhir.

Gerrard mula laung amaran


LONDON - Kapten Liverpool, Steven Gerrard sudah mula melaungkan amaran kepada kelab handalan Eropah.

Ia berikutan kejayaan Liverpool mara ke saingan suku akhir Liga Juara-Juara selepas membenam Real Madrid menerusi kemenangan agregat 5-0.

Pada aksi kedua, pusingan kalah mati di Anfield kelmarin, Gerrard meledak dua gol bagi membantu Liverpool menang 4-0 ke atas kelab gergasi Sepanyol itu.

Paling membanggakan, dua gol tersebut menyaksikan Gerrard kini telah merekodkan 100 gol dalam kempen Liga Juara-Juara.

"Aksi hari ini (kelmarin) adalah cukup hebat seperti aksi yang kami pamerkan sepanjang musim ini," kata perancang England itu.

"Kami bermain dengan hebat dan berjaya melaksanakan tugas dengan baik pada babak pertama.

"Babak kedua kami hanya perlu menyudahkan permainan ini, tapi kami dapat juga menjaringkan dua gol. Semua pemain puas hati.

"Saya tidak kisah dengan statistik peribadi, apa yang penting ialah kami mencatat kemenangan dalam perlawanan ini."


Penyerang Liverpool, Fernando Torres yang disahkan cergas beberapa jam sebelum sepak mula, menjaringkan gol pertama Liverpool pada minit ke-16.

Gerrard menambah dua lagi gol masing-masing pada minit ke-28 dan 47 sebelum pemain pertahanan, Andrea Dossena meledak gol keempat Liverpool dua minit sebelum perlawanan tamat.

"Turun menentang Real adalah sangat penting bagi saya kerana sejarah saya bersama Atletico Madrid. Saya sanggup menahan kesakitan," kata Torres.

"Sudah tentu gol itu sangat penting bagi saya dan juga buat peminat Liverpool. Ia sangat bermakna bagi mereka."